Monday, May 28, 2012

Perjalanan hidup si tua

Wajah tua ku renung sayu
Tampak benar tidak bermaya
Bujur wajah terpampang kelesuan
Saatnya sedang enak dibuai lena
Aku mula mengkaji air mukanya
Nampak tenang hembusan nafas keluar masuk
Kebetulan ribut kuat malam itu
Dipukulnya hebat pokok sekeliling
Hinggakan berguguran isinya ke tanah
Sungguh lena tidurnya hari ini
Sehinggakan tidak sedar kehadiran ribut
Biarkan rasanya lebih elok begitu
Mata si tua masih rapat terpejam di bantal empuk
Ku alihkan pandangan pada kulit tuanya pula
Ku usap rapi lipatan kedutan itu
Bermula dari pipi sampai ke tangan
Kini tulang si tua dibaluti kulit kedut yang nipis

Sebak rasa hati tatkala melihat keadaannya kini
Diabetes dihidapnya pada sekitar umurku tujuh tahun
Mengakibatkan tiga jari kaki kanan dibuang terus
Dituruti kegagalan lutut berfungsi lebih dua tahun lalu
Menambah lagi kesukaran untuknya bergerak
Duduk, baring, duduk, baring
Hanya itu mampu dilakukannya kini
Kadang kala kata keluhan menjadi permainan bibirnya
Tetapi pantas diingatkannya tentang yang di atas

Pada tahun ini aku sekali lagi perasan kelainan pada dirinya
'Tolong buka lampu tu. Gelap la. Tak nampak '
Acap kali disebut ayat itu
Aku mula hairan. Tetapi buntu
Lampu telahku petik tetapi katanya masih gelap
Perlakuannya menjadi lebih aneh apabila kerap memintaku mancis pada sianghari untuk cucur pelita katanya
Rujukan doktor telah dibuat selepas itu
Ternyata apa yang difikir benar
Anak mata mulai rosak sedikit demi sedikit
Akibat diabetes di tahap tiada bacaan
Tentu sekali hakikat tidak dapat diterima
Kini tugas pengurusan diri diambil alih oleh waris
Memandikannya, merapikan dirinya, menyuap makannya sudah menjadi rutin harian

Kadangkala hiba melihat si tua menggigil kesejukan tatkala curahan air singgah di ubun kepala
Kali terakhir dimasukkan ke hospital April lalu
Doktor mengesahkan otaknya pula mengalami simptom lupa (nyanyuk)
Sejak itu hebat benar ku rasa ujian yang Tuhan berikan
Kesabaran diuji berhari-hari
Soalan sama dilontar beratus kali
Minta diusung semula ke tandas selepas pulang dari tandas
Minta dibedakkan agar sentiasa nampak cantik
Kelakar melihat telatahnya yang kini seperti bayi
Benar kata orang, saat umur semakin lanjut,
Saat itu perangai kembali keanak-anakan

Suatu petang sedang duduk menyikat rambutnya
Tiba-tiba memintaku izin untuk membawanya ke suatu tempat
Aku bertanya 'apa ada sana '
Pantasnya menjawab kedua orang tuanya disana
Aku tergamam sebentar
Hendak berjumpa dengan orang yang sudah tiada ? Mustahil
Aku menyusun atur ayat untuk menerangkan keadaan sambil berharap hati tuanya tidak terluka
Ya. Hati tua mudah benar terguris
Aku dipersalahkan atas penerangan itu
Aku dituduh menipu
Tetapi sedikit tidak ambil hati
Lebih gemar melihatnya berimiginasi begitu
Senang bila bibirnya menguntumkan senyuman

Tiada hati tua lain yang ingin aku curahkan sayang
Perginya mereka menghadap ilahi terlalu awal
Inilah satu-satunya yang tinggal
Walaupun tidak sempurna seperti orang lain punya
Tetapi dia yang paling istimewa
Selagi kudrat masih ada, selagi itu tidak pernahku jemu menguruskannya
Mula terfikir andai suatu hari diriku ditempatnya
Berharap agar ada yang sudi berada di tempatku hari ini

Tuhan bijak mengatur segala
Tiada yang perlu dikesalkan
Tiada yang perlu dipersoalkan
Semua yang berlaku akan dibentangkan hikmah disebaliknya
Inshaallah.

SELAMAT HARI LAHIR NENEK
26/5/2012