Wednesday, May 2, 2012

Nikmat Hidup

Sebulan menghasilkan 30 hari
Usia itu masih baru, masih muda
Kalaupun disemai pokok, belum tentu boleh tumbuh membesar, mustahil untuk keras dahannya, tentu sekali jauh untuk hasilkan buahnya
Aku bersyukur kepadamu Ya Allah kerana diberi peluang untuk merasai detik indah yg merupakan sebahagian dari nikmat hidup ini
Diri beruntung dicuit hati untuk menerima kasih sayangnya
Rasa diri benar kerdil kerana berani mengambil risiko dengan meletakkan harapan setinggi kapal terbang di awangan
'mudahkan segalanya' antara yang sering diulang sebut dalam hati
Berdoa agar tidak menemui jalan buntu esok lusa nanti
Pernah terfikir untuk maju setapak lagi, tetapi hati menahan katanya belum cukup berani
Jadi otak mula ligat berfikir untuk menyelesaikan konflik hati
Ku pinta mata, ku pinta mulut, ku pinta hati akal dan jasad sama-sama membantuku untuk melahirkan keserasian apabila kelak bertentang 4 biji mata
Hanya itu sumber kekuatanku untuk menjayakan sketsa kali ini
Sketsa berunsur fiksyen yang dipentaskan kali ini aku harap lebih berbaloi

Kali ini aku pinta Tuhan membantuku agar tulang-temulang tidak pernah penat bekerja
Aku pinta juga jiwa untuk tidak berhenti bersabar
Aku mula merayu pada hati agar tidak mudah berbolak-balik
Kerana aku mulai yakin. Yakin padanya, yakin pada diri sendiri, yakin pada situasi
Ada persamaan, wujud juga perbezaan
Persamaan aku jadikan medan kelebihan
Perbezaan tidak pernah menjadi benteng pemisah
Bersyukur kerana masih belum wujud cabaran sukar dalam pengambaran
Tetapi hati kadang menjadi gusar tatkala perbincangan menjadi tegang
Kata orang sedapnya sesuatu cerita bergantung pada terajunya
Lagi sekali merasa lega apabila hero sentiasa bijak mengawal diri

Tetapi malu..
Malu inilah membataskan segalanya
Malu inilah punca tersekat hubungan dua hala
Malu ini berlagak seperti tembok besar cina yang membataskan dua peneraju utama
Hati lebih gemar bersorak dari dalam
Pernah juga hati berbisik ' inilah yang aku cari'
Tetapi hati kedekut untuk sampaikan kepada mulut risau kalau-kalau mulut sampaikan kepada tangan kerana takut tangan pantas menaip untuk menghebahkan kepada sang arjuna
Sabarlah hati, kau masih mentah untuk semua ini
Tidakku berani bersumpah mahupun berjanji, takut khilaf memakan diri
Hanya mampu berusaha menjadi yang sebaik mungkin agar berpeluang meraih hubungan yang murni
Kejujuran yang kau beri, bakal mendapat habuannya
Keikhlasan yang kau bentangkan, akan ku cuba membalasnya
Keserasian yang kita cari, bakal kita temuinya nanti.. INSHAALLAH

030412-030512